Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Belanjawan 2021 Tumpu Tiga Matlamat Induk

By 6 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 6 Nov (Malaysiaaktif) – Belanjawan 2021 memberi fokus kepada tiga matlamat induk iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, matlamat ini merupakan kesinambungan kepada pakej Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin.

“Selain daripada pendekatan bersasar, kerajaan juga akan mengimbangi kemampanan kewangan kerajaan, keseimbangan pembangunan antara wilayah dan bandar, serta mengangkat nilai-nilai murni membentuk ekonomi yang kita idamkan melalui Belanjawan ini.

“Matlamat pertama iaitu Kesejahteraan Rakyat akan dimanifestasikan secara holistik, memahami permasalahan dan keresahan rakyat merupakan perkara asas,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan memperuntukkan RM1.8 bilion bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan perkhidmatan kesihatan awam berkaitan COVID-19 antaranya untuk membeli Kelengkapan Perlindungan Diri atau PPE, reagen dan bahan guna habis.

“Sebanyak RM1 bilion lagi akan diperuntukkan pada tahun hadapan untuk membendung gelombang ketiga COVID-19 yang antaranya merangkumi, RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sebanyak RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan pensanitasi tangan kepada petugas barisan hadapan KKM dan sebanyak RM150 juta diperuntukan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi COVID-19.

“Dalam pada itu, sebanyak RM50 juta diperuntukan bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti. Kerajaan turut berhasrat menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) norma baharu,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda