
PUTRAJAYA, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Gara-gara bersikap biadap dan melakukan provokasi terhadap dua anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah, seorang lelaki tempatan ditahan di Petaling Jaya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata suspek berusia 27 tahun itu ditahan di Seksyen 21/36 sekitar tengah hari semalam.
“Ketika kejadian,anggota bertugas menahan suspek dan isteri di lokasi berkenaan kerana menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Suspek enggan mengemukakan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan selain melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata berbaur hinaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan cukai jalan motosikalnya juga didapati telah tamat tempoh.
“Suspek direman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana mengganggu penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.
Dalam kes berasingan, tiga individu tempatan termasuk sepasang kekasih ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes samun melibatkan seorang pegawai bank wanita di Jalan 1/12, Petaling Jaya, Khamis lepas.
Ku Mashariman berkata pasangan kekasih masing-masing berusia 25 tahun yang merupakan suspek pertama dan kedua ditahan di sebuah rumah di Jalan 4/46 pada pukul 11 pagi semalam, susulan laporan yang diterima daripada mangsa.
“Dalam serbuan berkenaan, antara yang dirampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan melakukan samun ke atas mangsa,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku terbabit dengan beberapa kes di sekitar Old Town, Petaling Jaya dan mengaku menjual telefon bimbit milik mangsa kepada orang lain.
Susulan maklumat itu, katanya suspek ketiga berusia 27 turut ditahan di sebuah pusat membeli-belah di ibu kota.
“Suspek pertama dan kedua direman selama lima hari, manakala suspek ketiga direman tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.
— BERNAMA