
Laporan/foto: RA Othman (Marang)
MARANG, 4 Nov (Malaysiaaktif) – Satu demonstrasi khas keselamatan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat daerah Marang telah dianjurkan semalam di Pusat Kuarantin (PQ2) Akademik Bomba Wakaf Tapai, Marang sebagai inisiatif bagi mengisi masa terluang para penghuni di pusat kuarantin tersebut.
Demonstrasi yang dipertontonkan meliputi demonstrasi menyelamatkan mangsa kemalangan, demonstrasi kebakaran di dapur rumah serta demonstrasi pengendalian haiwan berbisa (ular) yang mana perlu diketahui oleh semua orang awam sebagai langkah awal menyelamatkan diri dan sekeliling.
Komandan Akademik Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, PPjB Khair Osman berkata, penganjuran demonstrasi seperti ini julung kali diadakan di pusat kuarantin Covid-19 di Marang selepas hampir lapan bulan pusat kuarantin beroperasi.
“Bagi memastikan emosi para penghuni di sini sentiasa terjaga dan tenang, kita memikirkan lebih baik diadakan satu pertunjukan pendedahan ilmu keselamatan supaya para penghuni tidak merasa bosan dan memikirkan keadaan mereka yang masih dalam kuarantin akibat kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19,” kata Khair sewaktu menerangkan tujuan penganjuran pertunjukan ini kepada Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Ketua Inspektor RPA Bomba dan Penyelamat, Nazizul Maidin, memberi penerangan tentang demonstrasi menyelamatkan mangsa kemalangan kepada Pegawai Daerah Marang dan Pegawai Kesihatan Marang.
Menurut Khair, demonstrasi ini amat berguna kepada semua orang awam supaya boleh mempraktikkan ilmu keselamatan sebagai langkah awal menyelamatkan diri bila mana menghadapi situasi genting seperti kemalangan mahupun kebakaran kecil di rumah atau premis di sekeliling masyarakat.
Sementara itu dalam pertunjukan ini juga, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal berterima kasih kepada penghuni kerana telah memberikan kerjasama menjayakan program ini, dan turut mengingatkan penghuni-penghuni yang masih dikuarantin supaya bertahan dan bersabar dengan ujian ini.
“Kita faham bagaimana tempoh kuarantin ini menduga ketahanan mental dan fizikal, tetapi kita tidak boleh mengalah dan membiarkan diri kita semua berada dalam bahaya kerana penularan ini tidak dapat dijangka bila serangannya, maka teruslah sama-sama kita menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan supaya rantaian jangkitan ini tidak berpanjangan.
“Suka juga saya ingatkan supaya tidak membebankan dan menambah lagi kesukaran buat petugas-petugas kesihatan dan semua yang terlibat di pusat kuarantin kerana pertambahan penghuni di PQ2 menunjukkan kes penularan kini masih berada dalam tahap yang membimbangkan,” katanya.
Buat masa ini, kedua-dua blok penghuni di PQ2 telah pun penuh dan blok ketiga dijangka dibuka sebagai persediaan untuk menyambut kepulangan para petugas barisan hadapan yang ditugaskan di Sabah dan dijangka tiba di Marang pada 5 November ini.
-ii-