Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Helikopter Terhempas, Dua Maut

By 8 November 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

HULU KELANG, 8 Nov (Malaysiaaktif) – Dua individu maut selepas dua buah helikopter bertembung di udara sebelum terhempas di Taman Melawati, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha, berkata pihaknya menerima panggilan jam 12 tengahari memaklumkan kemalangan tersebut.

“Ketika sampai di tempat kejadian mendapati dua buah helikopter terhempas, sebuah berada di padang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati sementara sebuah lagi di Jalan 5 Taman Melawati.

“Empat mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan, dua orang berada di dalam setiap helikopter.

“Helikopter berkenaan adalah daripada syarikat sama, MyHeli Club yang berlepas dari Subang menuju ke Genting Sempah,” katanya semasa sidang media di lokasi.

Katanya, akibat insiden berkenaan dua orang meninggal dunia di tempat kejadian yang berada dalam helikopter sama sementara dua penumpang helikopter sebuah lagi hanya mengalami cedera ringan.

“Mangsa yang meninggal adalah bekas Pegawai Tentera Laut, Komander (B) Mohd Sabri Baharon, 56 tahun dan Mohd Irfan Mohd Rawi, 41 tahun.

“Mereka yang mengalami kecederaan adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Elan.

“Dipercayai Mohd Sabri dan Ahmad Jauhari adalah jurulatih sementara Mohd Irfan dan Tan Chai Elan adalah pelatih dua helikopter berkenaan,” katanya.

Menurutnya, punca kemalangan masih dalam siasatan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan semua mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

-NAZ

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda