Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Lebih 1.3 Juta Talian Prabayar Meragukan Dikesan

By 4 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 4 Nov (Malaysiaaktif) – Sebanyak 1,377,862 talian prabayar yang didaftar secara meragukan telah dikesan sehingga Oktober lepas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 920,217 talian telah ditamatkan perkhidmatannya dan 457,645 pula dikemas kini dengan maklumat yang sah.

Katanya daripada aspek pengawalseliaan industri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan audit pengesahan data dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengesahkan integriti pangkalan data pelanggan talian telefon prabayar bagi memastikan semua nombor yang aktif disahkan dengan sewajarnya.

“Ini bagi mengelakkan ia disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan dan seumpamanya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) mengenai inisiatif kementerian dalam memastikan rakyat selamat daripada penipuan siber yang menggunakan aplikasi tidak sahih dan melalui panggilan telefon.

Saifuddin berkata bagi perkara berkaitan siasatan, Jawatankuasa Jenayah Siber PDRM-MCMC sentiasa diperkasa bagi menerajui gerak kerja serta tindakan dalam membanteras jenayah siber termasuk berkaitan penipuan atau scam.

“Kerjasama antara kedua-dua pihak khususnya dalam perkongsian maklumat dan kepakaran adalah bertepatan bagi melancarkan aktiviti penguatkuasaan supaya dapat menangani isu penyalahgunaan media sosial dengan lebih efektif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian melalui Jabatan Penerangan (JaPen) melaksanakan strategi komunikasi terancang melalui platform media sosial rasmi JaPen bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat dan sahih berkenaan penipuan siber.

“Antara inisiatif kementerian untuk menyampaikan kesedaran kepada rakyat adalah juga melalui rancangan bual bicara, laporan berita, Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA), infografik media sosial dan media dalam talian serta hebahan program-program radio/TV dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata CyberSecurity Malaysia juga membantu rakyat menangani penipuan siber melalui program kesedaran keselamatan siber, selain menyalurkan kepakaran teknikal keselamatan siber melalui kerjasama erat dengan agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menjawab soalan tambahan Mohamad berhubung tindakan kementerian bagi menangani jenayah Macau Scam, Saifuddin berkata kerajaan telah melancarkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024 dengan peruntukan RM1.8 bilion bagi meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber negara.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda