Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Moratorium Lanjutan Manfaatkan Lebih 650 Ribu Pemohon

By 7 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 7 Nov (Malaysiaaktif) – Mulai 1 Oktober institusi perbankan telah menawarkan moratorium lanjutan dan lain-lain kaedah bantuan pembayaran yang telah memanfaatkan lebih daripada 650 ribu pemohon dengan kadar kelulusan tinggi iaitu 98 peratus.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bantuan dari segi pemanjangan moratorium atau fleksibiliti pembayaran balik telah diberikan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, serta kepada individu dan PKS yang pendapatannya terus terjejas oleh pandemik COVID-19.

“Bank telah melaporkan bahawa sekitar 85 peratus peminjam telah meneruskan semula pembayaran pinjaman mereka tanpa meminta bantuan sejak moratorium automatik berakhir.

“Institusi perbankan turut menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40 yang merupakan penerima BSH dan bakal penerima BPR dan kepada perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150 ribu, di mana peminjam diberi pilihan sama ada menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan turut bersetuju mengurangkan kadar minimum caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 11 kepada 9 peratus mulai Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna yang akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga RM9.3 bilion.

“KWSP memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Lestari pada bulan April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan, selama 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000 yang memanfaatkan 4.7 juta ahli dengan nilai sebanyak RM11.6 bilion.

“KWSP turut akan membenarkan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 ringgit dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan yang bertujuan membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600 ribu ahli yang terjejas,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda