Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Peserta Teknologi antara Perniagaan yang Amat Reseptif Terhadap Belanjawan 2021

By 22 November 2020Tiada komen3 minit bacaan

PUTRAJAYA, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Krisis kesihatan ekoran pandemik COVID-19 membuktikan betapa pentingnya teknologi dan inovasinya dalam memastikan kesejahteraan serta kemampanan perniagaan, dan atas asas itulah Belanjawan 2020 telah memberi penekanan kepada aspek ini.

Justeru, tidak begitu mengejutkan apabila peserta teknologi menjadi kalangan penyokong yang amat bersungguh terhadap belanjawan itu, yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat dan dijadualkan melalui undian untuk diluluskan dalam beberapa hari iagi.

Belanjawan pertama kerajaan di bawah pentadbiran Perikatan Nasional itu menetapkan beberapa inisiatif bertumpuan teknologi yang merangkumi penambahbaikan kesalinghubungan Internet, menggalakkan pelaburan dalam nilai tambah tinggi serta teknologi hijau.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Plus Solar Sdn Bhd, Ko Chuan Zen berkata langkah-langkah yang dicadangkan belanjawan itu akan memudahkan proses pemulihan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat, termasuk melalui peruntukan khususnya bagi pembangunan Malaysia yang lebih lestari dan berpengetahuan.

“Walaupun telah dibentangkan, namun kelulusan terhadap belanjawan itu bergantung kepada persetujuan Parlimen. Pada masa yang sama sektor tenaga boleh diperbaharu Malaysia berada di persimpangan yang penting.

“Beberapa inisiatif dan peruntukan menerusi belanjawan itu, seperti Bon Kemampanan pertama di Malaysia bagi usaha alam sekitar dan sosial, akan meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk gaya hidup mampan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bon itu, yang merupakan pinjaman untuk membiayai projek yang membawa manfaat alam sekitar bersih dan sosio-ekonomi, akan membantu mengekalkan industri dalam tempoh mencabar ini.

Selain itu, Ko berkata peruntukan sebanyak RM2 bilion di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) bagi tempoh dua tahun sehingga 2022 merupakan usaha yang bagus terutama bagi syarikat yang merancang untuk melabur dalam teknologi hijau.

“Sektor swasta dan perindustrian bersedia untuk memanfaatkan GTFS itu,” katanya.

Beliau berkata kriteria utama termasuk sekurang-kurangnya 51 peratus kepentingan syarikat atau perniagaan dimiliki oleh entiti Malaysia yang sah.

“Memandangkan bangunan komersial dan perindustrian mahu menjimatkan lebih banyak dari segi bil tenaga, peruntukan RM1 bilion menerusi Skim Transformasi Pendigitalan Industri berpotensi membantu perniagaan menerima guna teknologi Internet Pelbagai Benda yang boleh merealisasikan penggunaan tenaga secara lebih pintar,” katanya.

Beliau berkata justeru, Belanjawan 2021 perlu diluluskan apabila tiba masanya, dengan perbincangan terbuka melibatkan semua pihak bagi memastikan keutamaan diberi kepada peruntukan bagi menangani krisis pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi serta kestabilan politik negara secara keseluruhannya.

Sementara itu, menurut Halal Street UK (HST), e-pasaran bagi produk Malaysia di United Kingdom (UK), belanjawan yang dicadangkan itu adalah positif untuk menyelesaikan masalah dan cabaran meliputi semua sektor masyarakat di samping menangani impak ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Ia turut menyambut baik langkah kerajaan memperuntukkan RM1bilion untuk mempercepatkan pelaksanaan pendigitalan di bawah skim transformasi digital dan dana tambahan berjumlah RM150 juta yang akan disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Geran Automasi.

“Inisiatif dan insentif yang mencukupi telah diumumkan ke arah menyokong perniagaan, terutama dalam kalangan PKS yang masih bergelut dengan impak pandemik itu untuk beralih kepada e-dagang.

“Sebanyak RM35 juta disediakan untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia menerusi Misi Perdagangan dan Pelaburan yang sudah pastinya membantu PKS pulih daripada kerugian dan mempunyai capaian pasaran lebih luas dengan melangkah ke peringkat global,” katanya.

Menurut HST, semua usahawan perlu merebut peluang ini yang sudah tentu memberi manfaat kepada mereka untuk jangka panjang dan membantu menangani kemelut ekonomi di samping memperkasakan ekonomi digital dan gig.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka and Bangladesh, David Hagerbro pula berkata pelaburan untuk memperluaskan infrastruktur digital penting dan perkhidmatan yang inovatif serta mendemokrasi akses Internet akan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi Malaysia.

“Kami memberi sokongan kukuh dalam usaha kerajaan untuk menaik taraf jaringan rangkaian di 430 sekolah di seluruh negara dengan peruntukan RM500 juta di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Selain itu, menerusi peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi RM7.4 bilion pada 2021 hingga 2022 untuk memperluas kesalinghubungan jalur lebar adalah langkah tepat ke arah liputan berkualiti,” katanya.

Oleh itu, beliau yakin kejayaan pelaksanaan 5G adalah bergantung kepada insentif dan peruntukan besar dalam Belanjawan 2021 yang akan membuka laluan kepada kerajaan, perniagaan dan masyarakat untuk memberi penyelesaian baharu kepada pandemik serta menjangkaui semua lapisan masyarakat.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda