Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

UNSC Perlu Jujur Tangani Konflik Israel-Palestin – PM Muhyiddin

By 15 November 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Facebook Muhyiddin Yassin
PUTRAJAYA, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) perlu jujur memainkan peranannya sebagai orang tengah ??kepada pihak terbabit dalam kancah konflik Israel-Palestin bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan yang berterusan di rantau itu, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu disuarakan perdana menteri pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-15 semalam, yang menyeru masyarakat antarabangsa, terutama PBB memikul tanggungjawab penuh berdasarkan piagamnya dalam menyelesaikan konflik.

“Malaysia teguh menentang penindasan terhadap rakyat Palestin dan kekal mendukung perjuangan rakyatnya.

“Sokongan dan pendirian kami tidak berubah. Satu-satunya jalan keluar kepada konflik Israel-Palestin adalah melalui penyelesaian dua negara,” katanya pada sidang kemuncak itu, yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37.

Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak dwitahunan itu, berlangsung sehingga Ahad.

Diadakan secara maya ekoran COVID-19, sidang kemuncak itu dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc selaku pengerusi ASEAN.

EAS terdiri 10 negara anggota ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda