Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Golongan Belia Diseru Tampil Derma Darah – Shahelmey

By 12 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ritnie Carlikka Mansor (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 12 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah mengalu-alukan keprihatinan masyarakat terutamanya golongan belia dalam membantu menampung bekalan darah di negeri ini.

Menterinya Ir Shahelmey Yahya, berkata sumbangan menerusi derma darah itu adalah bagi membantu Unit Tabung Darah Hospital yang mengalami kekurangan bekalan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pandemik COVID-19.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru dan menggalakkan lebih ramai golongan belia untuk menderma darah.

“Terima kasih kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cawangan Negeri Sabah, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) dan juga semua petugas barisan hadapan yang terlibat dalam usaha murni ini dan saya mengharapkan sama-samalah kita menunaikan tanggungjawab untuk membantu menambah bekalan tabung darah hospital-hospital di Sabah,” katanya yang ditemui sempena lawatan kerjanya ke Program Derma Darah anjuran BSMM cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, di sini semalam.

Shahelmey (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada BSMM Sabah.

Shahelmey (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada BSMM Sabah.

Menurut Shahelmey, pihak kementerian turut menyeru kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan kempen derma darah selain bekerjasama rapat dengan Bulan Sabit Merah Malaysia serta MPMS.

“Kami mengalu-alukan para NGO untuk mengadakan aktiviti-aktiviti kebajikan seperti ini.

“Untuk maklumat lanjut mereka boleh berhubung terus kepada BSMM cawangan Sabah atau MPMS dan pihak kementerian amat menyokong tujuan murni seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Shahelmey menyampaikan sumbangan daripada MPMS bernilai RM30,025 kepada BSMM Cawangan Sabah sebagai sokongan kepada usaha-usaha BSMM dalam mengadakan Program Derma Darah di seluruh negeri ini.

Hadir sama, Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Sabah Datuk Asnan Yunus dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan
Kesejahteraan Rakyat Lee Chun Khiong.

-SH

Tinggalkan komen anda