
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/KBS
PUTRAJAYA, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menjalin usaha sama bagi membentuk pasukan yang bersifat pembangunan bergelar Skuad Projek FAM-MSN.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata inisiatif ini antara usaha FAM dan MSN dalam mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN), termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), dalam memudahkan mereka melakukan transisi ke pentas senior.
“Pemain yang terpilih akan menjalani latihan pusat rasmi di MSN, diberi elaun, tempat penginapan dan makanan, sokongan perubatan, pendedahan pertandingan dalam negara, pendedahan antarabangsa serta peluang melanjutkan pelajaran di universiti terpilih.
“Sebagai permulaan, seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah NFDP akan membentuk skuad perintis ini bermula Januari ini,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, semalam.
Menurut Reezal, jalinan kerjasama bersama-sama MSN ini menghidupkan semula persekitaran yang membawa kepada penghasilan generasi pemain yang menjadi teras kepada skuad negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011 serta Piala AFF 2010 serta mengisi kelompongan untuk lepasan NFDP dalam struktur sedia ada.
“Secara tidak langsung, program ini menjadi platform kesinambungan kepada pembangunan pemain memasuki tahap kompetitif di peringkat remaja kebangsaan.
“Selain melepaskan produk terbaik NFDP ke dalam pasaran liga sedia ada, FAM mengambil kira hakikat ada pemain berbakat yang mahu mengimbangi kerjaya dengan tuntutan akademik, maka tawaran biasiswa yang disediakan dianggap sebagai nilai tambah untuk skuad ini,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, menjelaskan Generasi terbaik lepasan NFDP yang berjaya menempatkan diri dalam Liga Super dan Liga Premier boleh diserapkan ke dalam skuad projek ini secara pinjaman, tertakluk kepada prestasi semasa pemain.
-SH