Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Hampir 90% Pengamal Undang-Undang Mahu Buli Siber Diklasifikasikan Sebagai Jenayah

By 9 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Soal selidik berkaitan buli siber yang dijalankan Universiti Multimedia (MMU) sejak Julai lalu mendapati 89 peratus pengamal undang-undang mahu buli siber dikategorikan sebagai kesalahan jenayah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Berdasarkan survei melibatkan 409 responden itu, 74 peratus pengamal undang-undang menyatakan keperluan untuk diwujudkan satu mahkamah khas berkaitan buli siber manakala 71.6 peratus lagi mahu akta buli siber diwujudkan, katanya.

Dalam pada itu, 89.3 peratus responden (orang awam) berpendapat terdapat keperluan untuk mewujudkan akta baharu yang khas untuk buli siber, katanya.

“Dapatan ini sangat mustahak kerana kita mahu lihat apa perasaan masyarakat dan pengamal undang-undang berkenaan buli siber ini… buli siber ini perkara serius,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan cadangan Akta Antibuli Siber di kementeriannya di sini, semalam.

Pada 3 Julai lalu, Saifuddin berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melantik MMU untuk menjalankan penyelidikan berkaitan undang-undang antibuli siber susulan peningkatan kes buli siber di Malaysia hingga mengakibatkan kes bunuh diri.

Saifuddin berkata MMU telah diminta untuk menyediakan laporan lengkap hasil penyelidikan yang dibuat mengenai buli siber itu, yang dijangka siap 31 Jan tahun depan.

“Angka survei yang ada ketika ini adalah ‘data mentah’. Kita harap laporan yang penuh dan lengkap dapat disiapkan dan apabila ia siap, kita lihat langkah seterusnya sama ada buat dasar atau perlu ada pindaan undang-undang baharu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan undang-undang baharu mengenai buli siber kerana setiap perkara perlu dilakukan dengan teliti.

“Kalau ingin jadikan buli siber sebagai satu jenayah, kita kena lihat kedudukan akta-akta perundangan sedia ada…mungkin ada undang-undang yang telah wujud mengenai perkara ini dibawah Kanun Keseksaan.

“Kita juga perlu lihat adakah undang-undang sedia ada mencukupi dan jika tidak cukup, kita akan buat keputusan sama ada perlu wujudkan akta baharu untuk buli siber ini,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda