Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Hampir Lima Ribu Miskin Tegar di Kedah – Dr. Megat

By 4 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Alor Setar)

PADANG TERAP, 4 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri komited menghulurkan bantuan kepada penduduk terutamanya kepada hampir lima ribu penduduk miskin tegar di negeri tersebut.

Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kedah (ICU) Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, berkata kerajaan negeri akan mengenal pasti mereka yang perlu dibantu serta bentuk bantuan yang diperlukan.

“Proses pencarian penerima bantuan adalah melalui pejabat daerah manakala peringkat permulaannya daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), dan penghulu.

“Mereka ini akan bawa senarai calon peserta untuk dikemukakan dalam kumpulan sasar daerah, yang mana pegawai daerah akan memilih dan menyemak siapa yang layak untuk menerima bantuan.

“Kita juga perlu tahu jenis bantuan yang akan kita salurkan seperti contohnya kita kenal pasti sama ada pemohon tersebut memerlukan rumah baharu atau hanya memerlukan bantuan baik pulih rumah,” katanya sempena Program Ziarah Kasih, di sini kelmarin.

Menurut Dr. Megat, peruntukan akan disalurkan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar setelah mendapat maklumat penerima.

Dr Megat (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima dalam Program Ziarah Kasih, di daerah sini.

Dr Megat (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima dalam Program Ziarah Kasih.

“Selepas ditapis siapa yang layak, data tersebut akan dihantar atau disalurkan kepada pihak ICU Kedah untuk kita membuat semakan sekali lagi dan jika didapati menepati permohonan, pihak kami akan meluluskan permohonan tersebut untuk menerima bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

“Pejabat ICU turut bekerjasama dengan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA) yang menyediakan insentif-insentif lain seperti insentif Bantuan Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) serta program pemerkasaan iaitu memberi fokus kepada ahli-ahli isi rumah dari segi latihan, modal untuk perniagaan dan apa jua keperluan untuk menyara ahli isi rumah mereka yang lain,” katanya.

Menurut seorang penerima ziarah kasih, Zakaria Abd Wahab, 50, bantuan yang diberikan banyak meringankan beban keluarganya.

“Paling terkesan buat kami sekeluarga semasa negara kita dilanda pandemik COVID-19 di mana saya hilang sedikit punca pendapatan.

“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam menguruskan perbelanjaan isi rumah,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda