Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan Bercadang Tambah Pembelian Vaksin hingga 70 peratus – PM Muhyiddin

By 13 Disember 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 13 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan bercadang meningkatkan pembelian vaksin COVID-19 agar dapat menampung keperluan imunisasi hingga 70 peratus rakyat berbanding kuantiti asal sebanyak 30 peratus, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ini kerana ada negara yang sudah membeli vaksin itu dengan sesetengahnya memperoleh dalam kuantiti yang banyak melebihi jumlah penduduk mereka sendiri.

“Untuk keperluan Malaysia, kita sudah dapat 30 peratus. Saya sudah arahkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bersama (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) Khairy Jamaluddin untuk berunding supaya dapat tambah dari 30 peratus kepada 60 ataupun 70 peratus.

“Ini dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia setakat hari ini… kalau dapat ditingkatkan ke jumlah itu maka lebih terjamin rakyat kita daripada virus COVID-19,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali 2020 Dewan Undangan Negeri Gambir, hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir berkata beliau telah meminta pembekal menghantar vaksin tersebut secepat mungkin dan Malaysia dijangka menerima bekalan pada Mac tahun depan.

“Berkesan tak berkesan, jangan sampai rakyat marah perdana menteri (sebab tidak beli)… orang lain sudah beli, saya pun beli juga… cepat-cepat kita beli.. (vaksin) akan sampai bulan tiga tahun depan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda