Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan Sasar Tanam 100 Juta Pokok dalam Tempoh Lima Tahun

By 22 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abdul Rahman/Syed Hisham (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 22 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan menyasarkan untuk menanam lebih 100 juta batang pokok dalam tempoh lima tahun bermula tahun hadapan sebagai usaha mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata sehingga kini Malaysia mencatatkan litupan hutan sebanyak 55.3 peratus dan kempen ini diharapkan dapat memastikan litupan hutan ini dipertahankan.

“Kempen ini bertujuan menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan hutan dalam usaha menangani perubahan iklim, hutan adalah merupakan agen utama penyerapan karbon dan oleh itu ia wajar dipelihara dan dijaga.

“Pokok yang ditanam akan memberikan manfaat kepada semua hidupan di muka bumi iaitu memberikan oksigen dan menyejukkan persekitaran termasuk menyumbang kepada penyampaian Matlamat ke-15 Sustainable Development Goals (SDG) iaitu Life on Land,” katanya dalam Majlis Pra-Pelancaran Program Penghijauan Malaysia – Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, di sini hari ini.

Shamsul berucap ketika merasmikan majlis tersebut, di sini.

Shamsul berucap ketika merasmikan majlis tersebut, di sini.

Menurut Dr Shamsul Anuar, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri akan menanam pokok kebangsaan iaitu Pokok Merbau pada satu majlis pada 5 Januari nanti sebagai bukti sokongan kepada kempen ini.

“Majlis pelancaran kempen tersebut pada peringkat kebangsaan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri dan turut dijalankan serentak oleh Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri di negeri masing-masing.

“Pada masa sama, satu aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun serta digunakan pada hari tersebut dan satu laman sesawang khas telah dibangunkan dan boleh diakses oleh semua kementerian, jabatan dan orang ramai pada hari kejadian.

“Kedua-dua aplikasi ini berfungsi sebagai pemantau yang akan merekodkan jumlah pokok yang telah ditanam oleh semua pihak sepanjang tempoh kempen ini berjalan,” katanya.

Pada majlis tersebut juga, logo rasmi Program Penghijauan Malaysia – Kempen Penanaman 100 Juta Pokok diperkenalkan kepada umum.

-SH

Tinggalkan komen anda