
Laporan/foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Kes baharu jangkitan COVID-19 di Malaysia melonjak kepada empat angka dengan 2,234 kes dan yang tertinggi sepanjang pandemik itu melanda negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Perkembangan baharu itu menjadikan kes kumulatif COVID -19 kini, sebanyak 78,499 kes dengan kes aktif meningkat kepada 11,867 kes.
Dr Noor Hisham menjelaskan Negeri Selangor terus melaporkan kes harian tertinggi dengan 1,428 kes membabitkan 1,321 kes yang dikesan hasil saringan kontak rapat dan kluster sedia ada.
Beliau berkata negeri itu dijangka akan kekal tinggi susulan perluasan Program Saringan Pekerja Warga Asing oleh Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso) dan tindakan proaktif majikan di kawasan Lembah Klang.
“Kebanyakan kes negeri ini melibatkan kluster berkaitan tempat kerja terutamanya Kluster Seruling dengan 842 kes dan Kluster Hentian (315 kes),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
— BERNAMA