Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Motosikal Hanyut, Dua Sahabat Berjaya Diselamatkan APM

By 20 Disember 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 20 Dis (Malaysiaaktif) – Dua sahabat berusia lingkungan 20-an nyaris maut apabila motosikal yang mereka naiki dihanyutkan air di Jalan Ibok Kemaman, petang semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kemaman Kapten (PA) Mohd Suhaimi Awang @ Muhammad berkata dalam kejadian 3 petang itu, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan namun skuter yang ditunggang mangsa hilang dihanyutkan arus deras.

“Kejadian itu disedari oleh anggota APM Kemaman yang sedang membuat pemantauan banjir di sekitar kawasan Ibok.

“Seorang daripada mereka sempat menyelamatkan diri manakala seorang lagi tersangkut pada sebatang pokok. Anggota APM bergegas menyelamatkan mangsa dengan mengikat tali pada badannya dan masuk ke dalam air deras itu untuk membawa mangsa keluar ke bahu jalan,” katanya ketika dihubungi.

Tengah hari semalam, sebuah kereta dipandu penjawat awam turut hanyut di Kampung Batu 10 berdekatan susur keluar Plaza Tol Chukai namun berjaya diselamatkan oleh dua beranak yang tinggal berhampiran lokasi kejadian.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu melaporkan bahawa jumlah mangsa banjir di negeri ini telah mencecah seramai 5,900 orang daripada 1,527 keluarga di 44 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 10 malam tadi.

Ia melibatkan empat daerah iaitu Kemaman yang terus mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 4,962 mangsa diikuti Hulu Terenggganu, Setiu dan Dungun.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda