Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Kembara Prihatin Negara Santuni Warga Labuan

By 20 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 20 Dis (Malaysiaaktif) – Program Kembara Prihatin Negara anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjaya menyantuni masyarakat kurang berkemampuan di pulau ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman, inisiatif bersepadu dan gerak kerja bersama perlu ditingkatkan supaya dapat memberi bantuan kepada warga Labuan dengan lebih berkesan.

“Sumbangan hari ini seperti barangan makanan, kewangan, barangan sekolah dan bantuan alat sokongan amat membantu mereka yang memerlukan terutama bagi mengalami masalah kesihatan.

“Pihak PPZ juga menyediakan 100 bakul makanan untuk golongan asnaf dan kumpulan nelayan yang terkesan dengan penularan COVID-19,” katanya selepas menyampaikan bantuan alat bantu sokongan kepada salah seorang penerima di Kampung Batu Manikar, semalam.

Salah seorang penerima bantuan kerusi roda tidak dapat menahan sebak semasa ditemubual media.

Salah seorang penerima bantuan kerusi roda tidak dapat menahan sebak semasa ditemubual media.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan Ansharey Matarsad, berkata program tersebut singgah di empat rumah penerima bantuan JKM untuk menyerahkan alat bantu sokongan yang disumbangkan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Cawangan Labuan.

“Objektif program ini adalah sebagai program turun padang bersama pemimpin tempatan, agensi kerajaan dan swasta di mana kita laksanakan kerjasama strategik dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat.

“Kita juga menyampaikan sebanyak 100 peralatan sekolah sumbangan Asian Supply Base Sdn. Bhd dan bakul makanan sumbangan PPZ kepada golongan asnaf serta nelayan,” jelasnya.

Tambahnya, program itu akan terus dilaksanakan selama setahun dan menyasarkan lokasi tumpuan seperti pasar tani, kawasan perniagaan, pusat setempat dan kawasan perumahan bagi menyebarluaskan perkhidmatan JKM selain inisiatif baharu kerajaan kepada masyarakat.

Dr. Fary (empat dari kiri) selepas menyempurnakan simbolik pelancaran Kembara Prihatin Negara Peringkat Labuan.

Dr. Fary (empat dari kiri) selepas menyempurnakan simbolik pelancaran Kembara Prihatin Negara Peringkat Labuan.

Sementara itu, menurut Penolong Pengurus Besar PPZ Cawangan Labuan Mohd Hakemal Husain, sempena program itu PPZ menerusi Khaira PPZ (CSR) menyantuni penerima sumbangan yang mana ianya adalah dari wang wakalah syarikat yang membayar zakat mereka ke PPZ.

“Pada dasarnya, pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah melaksanakan tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan dengan bantuan kewangan, kemahiran dan sebagainya secara berterusan dan kami sekadar menampung sedikit sumbangan sebagai tambahan kepada apa yang telah dilaksanakan oleh MAIWP,” kongsinya.

Beliau juga menyeru kepada pembayar zakat agar segera membayar zakat supaya boleh digunakan untuk kepentingan asnaf di wilayah itu.

-SH

Tinggalkan komen anda