Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeMAPutrajaya

Pelajar Digalak Manfaatkan Kemudahan Pusat Internet Komuniti Seluruh Negara – MCMC

By 3 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Pelajar yang menghadapi kesukaran mendapatkan liputan Internet yang baik untuk pembelajaran secara dalam talian digalakkan memanfaatkan kemudahan yang terdapat di 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara.

Dalam kenyataannya hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata setiap PIK mempunyai kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), capaian Internet laju dan petugas sepenuh masa yang boleh membantu pengunjung menggunakan perkhidmatan PIK.

“Setiap PIK dilengkapi 20 unit komputer, liputan wi-fi dan ruang berhawa dingin untuk memberi keselesaan kepada pengguna. Pengurus PIK juga boleh mengkhususkan bilik latihan yang selesa dan kondusif untuk kegunaan pelajar-pelajar yang perlu mengambil peperiksaan dalam talian,” demikian menurut kenyataan itu.

MCMC membuat gesaan itu susulah laporan beberapa portal berita mengenai masalah liputan lemah yang dialami seorang pelajar universiti di Kampung Bukit Petai 7, Tanah Merah, Kelantan, sehingga terpaksa belajar di dalam khemah di atas bukit di belakang rumahnya.

Merujuk perkara itu, pegawai MCMC telah berjumpa dengan keluarga pelajar serta menjalankan pemantauan di rumah pelajar tersebut  baru-baru ini dan mengesahkan liputan jalur lebar mudah alih lemah kerana lokasi kedudukan kampung yang agak jauh dari lokasi stesen pemancar sedia ada, selain terlindung disebabkan keadaan muka bumi berbukit.

“Beberapa langkah sementara termasuk menyediakan menara pemancar mini dan menambah baik pemancar berdekatan yang terletak 2.5 kilometer dari kampung itu sedang dirancang untuk kelulusan pihak berkuasa berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kualiti liputan dijangka dapat diperbaiki menjelang Januari 2021.

Sementara menunggu langkah naik taraf diselesaikan, MCMC menggesa pelajar di kawasan berkenaan memanfaatkan kemudahan PIK terdekat di PIK Kusial Bharu serta tidak mendedahkan diri kepada risiko kemalangan.

Orang ramai boleh menyemak lokasi 873 PIK melalui pendaftaran kata laluan di laman sesawang https://mycomms.skmm.gov.my.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda