Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Stadium SUKPA Kuantan PKRC Pesakit COVID-19

By 16 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Mesyuarat Task Force COVID-19 dan Kerajaan Negeri Pahang bersetuju untuk menggunakan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) sebagai Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) bagi menempatkan pesakit bukan warganegara berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus.

Perkara itu diulas ketika sidang media oleh Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang Mohd Zairasyahli Shah Zakaria, yang diadakan di perkarangan Stadium SUKPA, di sini baru-baru ini.

“Hal ini supaya situasi semasa tidak mengganggu rawatan dan perkhidmatan yang sedia ada di hospital-hospital kerajaan serta memberi lebih ruang kepada rakyat Pahang mendapatkan rawatan yang terbaik.

“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan orang ramai dan pihak kerajaan negeri telah memaksimumkan tahap keselamatan dan kawalan di PKRC SUKPA supaya masyarakat setempat tidak tergugat dengan kehadiran mereka dan boleh menjalani kehidupan harian seperti biasa,” katanya.

Sebelum ini, sidang MKN di peringkat Persekutuan pada 9 Disember 2020 telah meluluskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan RIA Apartment, Amber Court Apartment dan Rumah Kongsi Kampung Semaut di Daerah Bentong mulai 10 hingga 23 Disember 2020.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato' Sri Abd Jalil bin Hassan, bersama Pengarah Keselamatan Negeri MKN Pahang, Mohd Zairasyahli, meninjau persiapan akhir pembukaan Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 (PKRC).

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan (kanan) bersama-sama Pengarah Keselamatan Negeri MKN Pahang Mohd Zairasyahli, meninjau persiapan akhir pembukaan Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC).

Menurut Mohd Zairasyahli, SUKPA telah ditentukan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 sejak mula PKP diumumkan bertujuan menampung kapasiti hospital apabila keadaan memerlukan.

“Tiada tempat yang sesuai di daerah Bentong, dan setakat ini tempat seperti Institut Aminuddin Baki (IAB) tidak sesuai kerana telah dijadikan tempat Pusat Petugas Kesihatan dan Pihak Berkuasa bagi mengawal kawasan PKPD di tiga lokaliti sekitar yang masih Genting Highlands.

“Selain itu terdapat lebih kurang 60 orang residen yang masih menetap dalam kawasan IAB, tempat lain seperti Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong juga tidak sesuai kerana ianya adalah institusi pendidikan dan akan menimbulkan ancaman kepada pelajar dan ibu bapa,” katanya.

Tambahnya, pemilihan SUKPA juga adalah kerana kes-kes positif ini adalah dalam kalangan warga asing, keutamaan rawatan di hospital adalah untuk warganegara Malaysia.

“SUKPA juga dipilih kerana kedudukannya yang hampir dengan pusat rawatan COVID-19 sekali gus memudahkan pergerakan dalam jarak dan masa yang singkat,” katanya.

-KN

Tinggalkan komen anda