Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeMAPutrajaya

Unit Komunikasi OKU Permulaan ‘Tugasan’ J-KOM

By 19 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 19 Dis (Malaysiaaktif) – Penubuhan Unit Komunikasi Orang Kurang Upaya (OKU) yang dijadualkan tahun hadapan merupakan permulaan kepada ‘tugasan’ Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata unit itu juga akan diusahakan supaya diwakili oleh semua tujuh kategori OKU memandangkan setiap golongan mempunyai keperluan berbeza, menyebabkan penyampaian komunikasi perlu dibuat secara teliti dan sistematik.

Penubuhan unit itu juga menurut Saifuddin, akan dilaksanakan dengan kerjasama erat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil kira pengalaman dan kemahiran mereka mengendalikan golongan tersebut.

“Kami mempunyai persefahaman bahawa KKMM akan bertanggungjawab dalam perihal komunikasi kerana kami mempunyai medium seperti televisyen dan radio, manakala KPWKM akan menumpukan kepada aspek seperti pemberian bantuan.

“Selain itu, kami juga memerlukan pengalaman KPWKM khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mempunyai idea, kepakaran dan pengalaman menguruskan individu, persatuan serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan OKU,” katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian kepada pemberita selepas melawat 25 mangsa banjir kilat terdiri daripada empat keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Ular di Kuantan, hari ini.

Beliau juga menyifatkan penubuhan unit itu sebagai ‘tepat pada masanya’ kerana proses banci yang sedang berjalan membolehkan mereka mendapat maklumat lebih baik berhubung bilangan OKU, kerana jumlah hampir 600,000 orang yang didaftarkan buat masa ini, dirasakan rendah berbanding angka sebenar.

“Penubuhan Unit Komunikasi ini juga sangat mustahak kerana ada banyak perkara yang disampaikan kerajaan kurang difahami warga OKU. Saya juga sedang mendapatkan calon yang sesuai dan kami akan berusaha supaya langkah ini diperluaskan ke peringkat negeri serta daerah,” katanya.

Pada perkembangan lain, Saifuddin berkata isu penambahbaikan di beberapa kawasan dan jalan raya dalam Parlimen Indera Mahkota yang sering dilanda banjir terutamanya pada musim tengkujuh sudah disenaraikan dalam kad laporan beliau sebagai wakil rakyat di situ.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Ular, Shamshul Azlin Abdul Wahid berkata mereka yang ditempatkan di PPS tersebut merupakan penduduk yang tinggal bersebelahan sungai, yang melimpah akibat hujan berterusan sejak dua hari lalu.

“Kami tempatkan mereka di sini sejak Khamis lepas sebagai langkah berwaspada kerana air sungai mulai melimpah selain bimbang jika banjir berlaku pada waktu malam, ia akan menyukarkan kerja menyelamat terutamanya kepada dua keluarga yang tinggal di seberang,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda