Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

1,153 Kes Baharu, Selangor Kekal Catat Kes Harian Tertinggi

By 20 Disember 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 20 Dis (Malaysiaaktif) – Kes positif COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan empat digit apabila 1,153 kes baharu direkodkan dan Selangor kekal melaporkan kes baharu tertinggi dengan 401 kes dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 91,969 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 15,294 kes.

“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,151 kes,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Selepas Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan kes harian baharu sebanyak 281 kes dan diikuti Sabah dengan 199 kes.

“Sebanyak 176 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (96 kes) dan Kluster Tembok (80 kes),” katanya.

Sementara itu, pertambahan satu kes kematian dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia sebanyak 433 kes iaitu 0.47 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian itu melibatkan wanita warga tempatan berusia 76 tahun dengan sejarah penyakit darah tinggi dan dislipidemia yang meninggal dunia di Pulau Pinang.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda