Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Sebanyak 3,545 kes direkodkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 291,774.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan jumlah tersebut melibatkan kes tempatan dengan 3,544 kes, dengan 1,544 merupakan warganegara manakala 2,000 bukan warganegara.
“Terdapat satu kes import melibatkan bukan warganegara menjadikan jumlah kes aktif setakat ini adalah sebanyak 30,677 kes.
“Turut direkodkan, 12 kes kematian, manakala kes sembuh sebanyak 3,331 kes,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.
Menurut Dr Noor Hisham, Negeri Sembilan merekodkan kes harian tertinggi sebanyak 1,392 kes, diikuti oleh Selangor sebanyak 581 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 381 kes.
“Peningkatan kes mendadak di Negeri Sembilan adalah disebabkan oleh pengesanan aktif daripada Kluster Industri Sungai Gadut yang melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang pembuatan produk kayu yang terletak di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut, Seremban.
“Sebanyak 1,338 kes baharu untuk kluster ini dilaporkan dan jumlah keseluruhan kes dalam kluster ini adalah 1,432 kes.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 318 kes merupakan warganegara manakala 1,114 kes merupakan bukan warganegara,” katanya.