Laporan/foto: Noraini Mohd Nasir/Nur Syafiq Kamaruzzaman (Tampin)
TAMPIN, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Pelbagai inisiatif dan aktiviti telah dijalankan oleh pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daerah Tampin dalam membantu agensi kerajaan tempatan membendung penularan wabak COVID-19 di daerah ini, antaranya adalah dengan menyertai Pasukan Agensi Banteras COVID-19 yang telah ditubuhkan dibawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menurut Penolong Pegawai RELA Daerah Tampin Muhamad Firdaus Md Ramli, anggota pasukannya giat menjalankan hebahan berkaitan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.
“Selain menjalankan rondaan bermotosikal bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sekitar kampung dan kawasan tumpuan orang ramai, kami turut menjalankan hebahan serta pemantauan berkaitan pematuhan SOP PKP dengan menubuhkan Pasukan Agensi Banteras COVID bawah NADMA.
“Pergerakan pasukan ini lebih fokus pada kawasan-kawasan yang telah disenaraikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya kawasan yang menyumbang kepada peningkatan kes Covid di daerah Tampin,” katanya ketika mengadakan rondaan di sekitar kawasan sini, baru-baru ini.
Tambah Firdaus, peranan RELA turut diperluaskan lagi dengan membantu menjalankan kawalan keselamatan di kawasan atau stesen kuarantin yang telah diwartakan.
“Terdapat beberapa anggota RELA telah ditugaskan untuk menjalankan kawalan keselamatan perimeter di stesen-stesen kuarantin yang telah diwartakan oleh pihak MKN dan NADMA.
“Selain itu, kami turut membantu agensi penjara menjalankan kawalan perimeter sementara untuk tahanan reman di kawasan yang dikenali sebagai Penjara Satelit,” katanya.
-AK