Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan (Baling)
BALING, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Unit Transfusi, Hospital Baling menyeru orang ramai untuk tampil menderma darah bagi membantu menampung bekalan stok darah untuk kegunaan pesakit di hospital.
Menurut Ketua Unit Patologi dan Transfusi Hospital Baling Mohammad Na’im Mohamed Noor, pihaknya bertanggungjawab mendapatkan bekalan darah secukupnya bagi menampung keperluan darah pesakit di hospital.
“Hari ini kami mengadakan kempen derma darah dan seramai 17 orang terdiri daripada kakitangan awam, swasta , pesara tentera serta orang awam telah berjaya menderma darah dan kami ucapkan sekalung penghargaan buat mereka kerana menjadi wira kepada yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di Perkarangan Unit Transfusi Hospital Baling, di sini baru-baru ini.
Muhammad Na’im berkata meskipun negara dilanda pandemic COVID-19 yang masih belum reda, usaha untuk menjalankan kempen derma darah masih perlu diteruskan.
“Peningkatan jumlah pesakit yang memerlukan pemindahan darah menyebabkan permintaan terhadap bekalan darah juga meningkat setiap tahun dan bagi memenuhi keperluan ini, pihak Unit Transfusi Hospital Baling perlu mempergiatkan lagi kempen derma darah melalui kerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan dan swasta, pertubuhan-pertubuhan sukarela serta pusat-pusat pengajian tinggi.
“Bagi membendung penularan penyakit COVID-19 dalam kalangan penderma-penderma darah dan petugas kesihatan, pihak kami akan memastikan program derma darah yang akan diadakan adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Menurut salah seorang penderma yang juga penjawat awam Siti Khatijah Ismail, 34, melihat kata-kata perangsang kempen derma darah “Satu Beg Darah Mampu Menyelamatkan Tiga Nyawa” mendorong beliau untuk menunaikan tanggungjawab untuk menderma.
“Ini adalah kali ke-17 saya menderma dan saya menyeru kepada semua agar dapat tampil membantu pihak tabung darah untuk menambah bekalan darah bagi kegunaan pesakit,” ujarnya.
-SH