Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Sebanyak 2,998 kes baharu COVID-19 dan 22 kematian direkodkan dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, sebanyak 5,709 kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 229,762, manakala kes aktif adalah 41,396.
“Daripada jumlah kes baharu, 2,991 kes adalah penularan tempatan melibatkan 1,578 warganegara dan 1,413 bukan warganegara manakala tujuh adalah kes import melibatkan tiga warganegara dan empat bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, semalam.
Dr Noor Hisham berkata Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 1,382 kes, diikuti Johor sebanyak 436 kes dan Negeri Sembilan pula 233 kes.
Katanya, sebanyak 231 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 115 memerlukan bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham berkata kes kematian akibat COVID-19 di negara ini melepasi 1,000 iaitu 1,005 kes dengan 22 kematian dilaporkan semalam melibatkan warganegara iaitu di Selangor (lapan kes); Sabah (empat kes); Kuala Lumpur (tiga kes); masing-masing dua kes di Sarawak dan Perak; serta satu kes di Negeri Sembilan, Kedah dan Johor dengan lingkungan umur antara 41 hingga 100 tahun.
— BERNAMA