Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Mangsa Kebakaran Kuarters Pekerja Dipindahkan Dalam Masa Terdekat

By 18 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Mangsa kebakaran kuarters pekerja berhampiran Taman Kian Yap yang kini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara Kompleks Sukan Labuan akan dipindah semula ke kuarters mereka dalam masa terdekat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan Rithuan Mohd Ismail, pihaknya telah dimaklumkan oleh majikan mangsa kebakaran bahawa mereka akan memulakan proses perpindahan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat serta amalan norma baharu.

“Kita perlu pastikan segala SOP dan amalan norma baharu perlu diikuti sepanjang proses itu bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 serta bagi memastikan semuanya dalam keadaan terkawal,” katanya yang ditemui selepas melawat pusat penempatan sementara itu, di sini semalam.

Pihak majikan juga katanya telah dimaklumkan agar mematuhi Akta 446 di bawah Jabatan Tenaga Kerja yang dikuatkuasakan di seluruh negara termasuk Labuan.

“Kita telah arahkan majikan tersebut untuk merujuk serta mematuhi akta tersebut dan tindakan perundangan akan diambil jika gagal mematuhinya.

“Pembinaan semula kuarters itu perlu mematuhi spesifikasi yang ditetapkan dalam akta bagi mengelakkan sebarang kejadian sama berulang pada masa hadapan,” katanya.

Rithuan (kanan), Bashir (dua dari kiri) melihat sendiri kit bantuan bencana yang diserahkan kepada semua mangsa terlibat.

Rithuan (kanan), Bashir (dua dari kiri) melihat sendiri kit bantuan bencana yang diserahkan kepada semua mangsa terlibat.

Beliau melahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat menyelaras pusat penempatan sementara yang menempatkan 85 orang mangsa daripada 31 keluarga.

“Kita dapatkan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan yang membenarkan Dewan Badminton dijadikan pusat penempatan sementara dan Jabatan Kesihatan yang berjaya melakukan saringan COVID-19 dan semua mangsa disahkan negatif COVID-19.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat membuka pusat itu sejak 15 Februari.

“Tahniah kepada JPBD dan semua agensi yang terlibat yang menguruskan perpindahan ini dan menyediakan pelbagai kemudahan serta keperluan kepada mangsa-mangsa terlibat,” katanya.

Tambahnya, para majikan diseru untuk menyediakan rumah pekerja mengikut piawaian yang ditetapkan kerajaan serta perlu merujuk Perbadanan Labuan terlebih dahulu.

“PL menggariskan satu dasar bagi pembinaan rumah-rumah kongsi yang merangkumi semua aspek keselamatan melalui pemeriksaan keselamatan oleh agensi-agensi terlibat,”ujarnya.

Pada 16 Februari lalu, tiga daripada lima blok kuarters pekerja itu hangus dalam satu kejadian kebakaran manakala dua blok berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan yang menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 11.48 pagi.

-SH

Tinggalkan komen anda