Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/IPD Gombak
SELAYANG, 26 Feb (Malaysiaaktif) – Dua lelaki ditahan selepas disyaki menyamun empat pekerja dan pengawal keselamatan sebuah kilang dalam kejadian di Taman Perindustrian Selayang Baru pada Selasa lalu.
Suspek yang bersenjatakan sebatang tukul besi melarikan sebuah kereta berwarna putih dan dua buah telefon bimbit milik mangsa yang berusia 32 hingga 63 tahun.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata hasil maklumat suspek berusia 39 dan 44 tahun berjaya ditangkap pukul 8.30 malam di bengkel motosikal di Kampung Laksamana, Batu Caves, kelmarin.
“Siasatan mendapati pada hari kejadian salah seorang mangsa yang baharu keluar daripada keretanya telah didatangi suspek yang bersenjatakan sebatang tukul besi bertindak menahan dan mengikatnya bersama rakan sekerja yang lain.
“Suspek kemudian menyamun dua buah telefon bimbit dan melarikan kereta milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek berjaya memecah masuk kilang tersebut dan cuba melarikan sebuah peti besi namun gagal.
“Kedua-dua suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Mereka ditahan reman selama enam hari hingga 2 Mac ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
-SH