Laporan/foto: Luqman Hakim/Hazlina Tajuddin (Petaling)
SHAH ALAM, 26 Feb (Malaysiaaktif) – Negeri Selangor telah menerima lebih 133,380 dos vaksin COVID-19 fasa pertama melibatkan 67,894 penerima suntikan dikalangan petugas barisan hadapan secara berperingkat bermula semalam.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata terdapat enam buah hospital dijadikan Pusat Simpanan Vaksin di Selangor iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Tanjung Karang.
“Sebanyak 70 buah fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia meliputi 14 hospital termasuk dua buah hospital pengajar dan 56 Klinik Kesihatan telah dikenal pasti sebagai Pusat Pemberian Vaksin di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Hospital Shah Alam.
Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata salah satu cabaran yang harus dihadapi oleh anggota kesihatan dalam melaksanakan program ini adalah golongan anti vaksin yang boleh menganggu sasaran liputan imunisasi bagi membentuk imuniti kelompok.
“Diharapkan kerjasama dari semua pihak untuk memberi maklumat yang tepat kepada semua rakyat di negara ini khususnya berkaitan vaksin dan juga faedah dari imunisasi yang akan dilaksanakan,” katanya.
Seramai 42 orang menerima suntikan vaksin pertama di negeri Selangor yang diketuai oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari serta barisan pimpinan kerajaan negeri dan petugas barisan hadapan.
-SH