Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution (Seremban)/Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan
SEREMBAN, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Hepatitis merupakan penyakit keradangan hati yang sekiranya tidak dirawat mampu memberi kesan ekonomi dan beban penyakit yang tinggi kepada negara.
Menurut Pegawai Farmasi Hospital Tuanku Ampuan Najihah Pang Siow Fen, penyakit hepatitis B dan C adalah pembunuh senyap dan boleh membawa kepada risiko kanser hati kronik jika tidak dirawat daripada awal.
“Hepatitis merupakan cabaran kesihatan awam global, menurut satu kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) baru-baru ini menunjukkan penyakit ini menyumbang kepada bilangan kematian yang tertinggi pada peringkat global berbanding dengan penyakit berjangkit utama lain seperti HIV/AIDS, tibi dan malaria.
“Dianggarkan kira-kira 1.34 juta penduduk meninggal dunia pada peringkat global setiap hari dan apa yang menyedihkan adalah kadar kematian yang tinggi ini adalah sesuatu yang boleh dicegah kerana negara mempunyai vaksin dan rawatan yang berkesan untuk merawat penyakit ini,” katanya ketika ditemubual secara langsung di Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dalam slot Hepatitis: Dapatkan Rawatan Awal, di sini kelmarin.
Menurut Mahadi Abd Razak yang merupakan moderator slot temubual ini, beliau sangat berharap agar perkongsian ilmu secara maya ini menjadi platform dalam memperkukuhkan komitmen dan mempertingkatkan kesedaran masyarakat berkaitan penyakit hepatitis.
“Rakyat Malaysia mempunyai kesedaran yang rendah dan kurang pendedahan berkaitan penyakit ini. Justeru, orang ramai perlu prihatin dan mengambil peluang untuk menjalani pemeriksaan di hospital, pakar atau klinik kesihatan yang berhampiran,” tegasnya.
-FF