Laporan/foto: Ezzaty Razimi/Latifah Salleh (Muar)
MUAR, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Berbekalkan niat dan semangat untuk menceburi bidang pertanian dan membuka peluang pekerjaan untuk golongan muda kini Pengusaha Tanaman Agrotani dan Ternakan Norazmi Norazman, berjaya menjadikan sebuah kawasan tanah lapang yang dahulunya seolah tiada potensi untuk dimanfaatkan menjadi sebuah kebun yang penuh dengan hasilnya.
Menurut Norazmi, pada mulanya kawasan ini hanya sekadar tanah kosong namun ia telah diusahakan menjadi kebun pelbagai tanaman seperti durian kampung, durian belanda, pisang, serai, nanas, kelapa dan cili sentil serta kolam ternakan ikan.
“Penanaman agro ini telah bermula sejak tahun 1996 lagi tetapi hanya dalam skala yang kecil pada ketika itu dan masih belum mempunyai pekerja.
“Melalui bantuan pinjaman bersama Agrobank, kawasan tanah ini telah berubah menjadi kebun kecil dan berkembang menjadi tapak penanaman agro yang semakin rancak membuahkan hasil,” katanya ketika di temui di ladang Sungai Gersik Muar, di sini semalam.
Tambahnya, beliau bertekad untuk berusaha lebih kuat bagi memastikan tanaman agro dan ternakan ikan ini akan berkembang maju dan memberi keuntungan.
“Saya turut memasarkan hasil tanaman dan ternakan ikan ke pasaran tempatan dan juga luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.
“Berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara, para pengusaha tanaman seperti beliau turut terkesan yang mana pada kebiasaannya, tanaman agro dan hasil ternakan ikan mampu memberi keuntungan hampir lima puluh ribu setahun namun jumlahnya semakin menyusut,” katanya.
Seorang pekerja ladang yang ditemui, Hisham Azman, 23, berkata penanaman agrotani kini semakin mendapat tempat di hati golongan muda termasuklah beliau.
“Bukan lagi perkara yang janggal apabila golongan muda pada hari ini melanjutkan pelajaran dalam bidang pertanian dan penternakan.
“Senario ini jelas terbukti apabila ramai golongan muda yang berjaya menjadi usahawan tani dan penternak selepas tamat pelajaran,” ujarnya.
Hisham memaklumkan, beliau sentiasa berusaha untuk menambah ilmu dalam bidang pengurusan pertanian yang berkaitan bagi memastikan pengeluaran yang berkualiti dapat dikekalkan dalam tempoh jangka masa yang panjang.
“Saya sentiasa berpegang pada prinsip ‘tuntutlah ilmu sampai ke negeri Cina’ bagi mencapai impian menjadikan tanaman agro sebagai sebuah pelancongan agrotani yang turut menyediakan penginapan inap desa,” katanya.
-NI-