Laporan/foto: Juslie Bacle/Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)
KOTA BELUD, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukan RM77 juta untuk menyelesaikan masalah banjir di Kota Belud.
Menterinya, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kementeriannya komited untuk mengatasi masalah banjir di daerah Kota Belud melalui pelaksanaan dua projek utama tebatan banjir dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menurut Tuan Ibrahim, antara projek tersebut ialah Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Gurong-Gurong Pekan Kota Belud dan Projek Tebatan Banjir Sungai Kedamaian, Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kawang-Kawang, Kota Belud.
“Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Gurong-Gurong yang bernilai RM27 juta ini dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2022, di mana ia akan memberi manfaat kepada penduduk di Pekan Kota Belud daripada risiko banjir kilat dan pengurangan keluasan banjir meliputi keluasan 20 hektar.
“Manakala, Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedamaian, Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kawang-Kawang diperuntukkan sebanyak RM50 juta dan dipercayai dapat mengurangkan risiko banjir di Kampung Menunggui, Kampung Kota Belud, Kampung Siasai Tamu dan kawasan sekitar dengan pengurangan keluasan banjir seluas 188 hektar yang akan memberikan manfaat kepada 2,000 penduduk,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke kawasan banjir dan tapak projek rancangan tebatan banjir, di sini semalam.
Tambah Tuan Ibrahim, KASA akan menjalankan Kajian Kemungkinan Bersepadu Sumber Air dan Tebatan Banjir bagi mencari penyelesian menyeluruh isu-isu sumber air dan tebatan banjir di daerah berkenaan.
“Saya yakin hasil kajian ini akan membolehkan perancangan dan pelaksanaan yang lebih berkesan serta dapat dijalankan oleh pihak berkepentingan.
“Saya akan sentiasa memantau perkembangan dan kemajuan projek-projek ini bagi memastikan kejadian banjir di daerah Kota Belud dan kawasan sekitarnya dapat diminimumkan,” jelasnya.
Hadir bersama rombongan, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Fairuz Renddan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Datuk Seri Mohd Salleh Said, ADUN Tempasuk Mohd Arshad Bistari dan Ketua Pengarah JPS Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali.
-SH