Laporan/foto: Juslie Bacle/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Kerjasama erat agensi kerajaan persekutan dan negeri berjaya melandaikan keluk pandemik COVID-19 di negeri ini.
Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Noor, berkata kerajaan persekutuan sentiasa bekerjasama dan memberi sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha memutuskan penularan wabak COVID-19.
“Kita bersyukur kerana dalam tempoh dua minggu ini, jumlah kes COVID-19 di Sabah telah menunjukkan trend penurunan.
“Ini adalah hasil usaha dan kerjasama erat semua pihak termasuk para petugas di jabatan serta agensi sama ada kerajaan negeri mahupun persekutuan dalam memutuskan jangkitan COVID-19.
“Melalui jawatankuasa yang dibentuk bersama kerajaan negeri, kerajaan persekutuan juga sentiasa memberi bantuan dalam bentuk logistik, sumber manusia serta aset-aset yang ada bagi menangani pandemik ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan perpisahan terhadap Yang DiPertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri, di sini hari ini.
Samsuni yang telah berkhidmat selama 33 tahun dan bertugas di Sabah sejak 17 Jun 2019, akan bersara wajib pada 20 Februari ini.
Hadir mengiringi beliau di Istana Negeri ialah Timbalan Setiausaha Persekutan, Dr Muharrir Kamaruddin.
-SH