Laporan/foto: Syed Hisham (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Kumpulan pertama vaksin COVID-19 keluaran syarikat Sinovac, Coronavac, selamat tiba di Malaysia pagi ini yang juga menjadi bukti kepada hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan China.
Duta Republik China ke Malaysia Ouyang Yujing, berkata semenjak meletusnya pandemik COVID-19 setahun lalu, kerajaan dan rakyat di China dan Malaysia telah berganding bahu bekerjasama, memberikan sokongan padu dan bantuan tidak berbelah bagi yang menunjukkan hubungan baik antara kedua-dua negara.
“Oktober lalu, Menteri Luar China Wang Yi, telah mengadakan lawatan ke Malaysia dan ketika lawatan tersebut Malaysia dan China bersepakat mengadakan kerjasama dalam urusan vaksinasi ini.
“Beberapa bulan belakangan ini, kerajaan China dan pihak kedutaan di sini telah bekerja sama secara erat dengan beberapa kementerian berkaitan termasuklah Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggalakkan syarikat vaksin dari China untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam urusan perolehan vaksin, penghasilan serta fasa ketiga ujian klinikal,” katanya pada sidang media Majlis Ketibaan dan Penyerahan Kumpulan Pertama Vaksin Sinovac, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Dalam sidang media yang turut dilaksanakan secara dalam talian itu, Yujing, berkata Sinovac telah menandatangani perjanjian dengan Pharmaniaga untuk membekalkan 14 juta dos vaksin COVID-19 secara berperingkat sepanjang tahun ini.
“Hari ini ketibaan vaksin secara pukal dalam bentuk cecair ini membuktikan kejayaan Malaysia-China terhadap kerjasama mendapatkan vaksin dan sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara.
“Kumpulan pertama vaksin ini akan diproses kepada 300,000 dos oleh Pharmaniaga, manakala tambahan 100,000 lagi yang akan digunakan untuk tujuan kecemasan akan tiba sejurus urusan pendaftaran diluluskan,” katanya.
Turut serta dalam sidang media tersebut, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Terdapat tiga peringkat Program Imunisasi yang akan dilaksanakan Malaysia melibatkan lebih 80 peratus populasi rakyat negara ini dengan Fasa 1 melibatkan petugas barisan hadapan yang sedang dilaksanakan antara Februari – April 2021, Fasa 2 yang melibatkan warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi (April – Ogos 2021) dan Fasa 3 melibatkan penduduk berumur 18 tahun ke atas (Mei 2021 – Februari 2022).