Laporan/foto: Musliha Yusof (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Wellness Hub diwujudkan oleh Unit Promosi Kesihatan Pejabat Kesihatan Batu Pahat untuk meningkatkan pengetahuan, memberi kemahiran dan membantu mengubah amalan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat.
Wellness Hub merupakan inisiatif daripada Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyediakan perkhidmatan promosi kesihatan khususnya untuk menggalakkan masyarakat menjalani kehidupan yang sihat kerana ia merupakan aset penting dalam kehidupan manusia serta menjadi aspek utama dalam kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah negara.
Menurut Pegawai Pendidikan Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat Irene Faridah Ismail, Wellness Hub dahulunya dikenali sebagai Pusat Promosi Kesihatan Komuniti (PPKK) yang mula ditubuhkan pada 8 Ogos 2003 di mana ia bermula di Klinik Kesihatan Seberang Jaya Pulau Pinang pada tahun 2004.
“Wellness Hub Batu Pahat telah mula beroperasi seawal tahun 2018 di Klinik Kesihatan Daerah.
“Kami amat menghargai usaha Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor yang memberi persetujuan untuk kami bergerak sendiri di bawah kendalian Unit Promosi Kesihatan,” katanya lagi ketika di temui di klinik tersebut, di sini, semalam.
Tambah beliau, PPKK telah diubah nama kepada Wellness Hub secara rasminya pada 1 April 2020 yang mana ketika itu, sudah terdapat 27 pusat ini di seluruh negara.
“Kumpulan sasaran bagi program ini adalah golongan suri rumah, remaja dan warga emas.
“Amalan gaya hidup sihat yang ditekankan adalah melalui modifikasi tingkah laku, senaman dan kecergasan fizikal, makan secara sihat, berhenti merokok, minda sihat serta program intervensi pengurusan berat badan atau lebih dikenali sebagai I Fit And Eat Right (IFitER),” ujarnya.
Irene berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kebanyakan aktiviti konsultasi dan kecergasan perlu dibuat secara dalam talian.
“Pihak kami menggunakan platform FB live kerana ia merupakan saluran terbaik di mana majoriti masyarakat memiliki laman media sosial tersebut.
“Pelbagai aktiviti diadakan seperti aerobik, chair dance, tabata dan juga perkongsian berkaitan program makanan sihat dan minda sihat,” ujarnya lagi.
Seorang penggerak aktiviti fizikal, Nur Najwan Shahidan, 27, yang ditemui berkata interaksi seperti ini sebenarnya memudahkan anggota Wellness Hub dan mana-mana individu yang menyertainya.
“Walaupun tidak bersua muka, kami berjaya mengadakan pelbagai aktiviti kecergasan dan perkongsian tips kesihatan bersama-sama dengan komuniti setempat bagi memastikan mereka sentiasa kekal aktif dan sihat,” katanya.
-NI-