Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KKMM, GAPENA Jalin Kerjasama Bantu Hasilkan Produk Seni Tempatan Berkualiti

By 5 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menjalin kerjasama dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), dalam usaha membantu penggiat industri seni tempatan memperkaya hasil produk seni mereka, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata GAPENA, yang mempunyai kepakaran dalam penulisan dan kebudayaan berteraskan Bahasa Melayu, akan memainkan peranan untuk menasihati KKMM dari segi penghasilan kandungan bahan digital, dan membantu para karyawan menghasilkan bahan seni seperti lirik lagu, skrip drama dan filem serta animasi, menerusi penganjuran bengkel dan seminar.

“Kerjasama dengan GAPENA ini bukanlah untuk mengeluarkan panduan ‘rigid’ atau peraturan baru kepada penggiat seni, tetapi GAPENA akan membantu mereka mendapatkan input-input seni kebudayaan,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan sesi libat urus secara maya, bersama Ketua Satu GAPENA Datuk Zainal Abidin Borhan hari ini.

Saifuddin berkata jalinan kerjasama tersebut akan dimeterai secepat mungkin dan akan melibatkan beberapa siri perbincangan diantara pihak KKMM dan GAPENA.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan yang dianjurkan oleh GAPENA, akan dijadikan sebagai salah satu program rasmi bagi pengisian sambutan bulan kemerdekaan, pada tahun ini.

“Kita tidak tahu sama ada sambutan kemerdekaan pada tahun ini akan diadakan secara biasa atau dalam talian, namun kita kena bersedia untuk kedua-dua kemungkinan.

“Bagaimanapun perancangan program sayembara ini adalah ia akan dirakam untuk disiarkan kepada orang ramai, menerusi platform dalam talian dan stesen televisyen tempatan sepanjang bulan kebangsaan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda