![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/02/WhatsApp-Image-2021-02-22-at-08.29.471.jpeg)
Laporan/foto: Haliza Mohd Taib/Norman Buang (Muar)
MUAR, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Penghulu Mukim Parit Jawa Afezan Yahya komited untuk mengembalikan kegemilangan Institusi Penghulu di mukim ini.
Menurut Afezan Yahya, penekanan awal mengembalikan kegemilangan peranan, fungsi Institusi Penghulu dengan menjadikan Kompleks Penghulu lebih dikenali, sangat dirasai oleh komuniti setempat dan jabatan kerajaan mahupun agensi swasta.
“Kompleks Penghulu akan berperanan sebagai Pusat Pengembangan Aktiviti Ekonomi bagi memastikan keluaran dan potensi mukim masing-masing yang lesu kembali meriah dengan aktiviti pengembangan dan ekonomi.
“Inisiatif yang sedang rancak berjalan ini merupakan kerjasama dengan Pusat Pengembangan Komuniti Mukim dan Laman Tani Komuniti yang berkonsepkan pertanian bandar,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Tambah beliau, bagi menyahut hasrat pentadbiran daerah dalam hal pelancongan, beberapa inisiatif akan diberi tumpuan seperti membugarkan presentasi Asam Pedas Parit Jawa, menambah nilai aktiviti Bukit Mor dan Pantai Leka, mempromosikan durian Bukit Mor jenis IOI dan pusat latihan durian untuk penghasilan pokok durian kawin.
“Selain itu, inisiatif menjelajah hutan paya pantai serta potensi-potensi tempat pelancongan lain bakal dicerakinkan.
“Untuk memanfaatkan bangunan yang sedia ada, pihak komuniti telah berganding bahu membersihkan dan mengecat bangunan untuk digunakan sebagai tempat berkumpul dan menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan,” ujarnya.
Afezan berkata, sementara itu Laman Tani Komuniti yang bertujuan mencetuskan pelbagai aktiviti pertanian bandar di kalangan masyarakat telah dimulakan dengan tanaman keladi mawar, pisang, nanas, terung, kedondong dan jagung.
“Saya merancang untuk memperluaskan jenis tanaman lain seperti tanaman herba, sayuran dan bekerjasama dengan jabatan berkaitan untuk sudut inovasi tanaman bagi galakkan serta pembelajaran khususnya untuk para pelajar sekolah,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Mesyuarat Zaiton Ismail yang ditemui, mengucapkan tahniah kepada Penghulu Mukim Parit Jawa atas usaha dan inisiatif beliau yang mendapat kerjasama daripada komuniti setempat, khususnya golongan belia tempatan.
“Semoga dengan usaha yang berterusan ini bukan sahaja dapat mensejahterakan masyarakat tetapi juga dapat membantu menambahkan pendapatan komuniti setempat,” katanya.
-NI