Laporan/foto: Norsaedah Haron/Abassalimi Mohamad (Kluang)
KLUANG, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 4,539 petugas barisan hadapan Daerah Kluang bakal menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi fasa pertama, yang akan dilaksanakan secara berasingan oleh tiga agensi kesihatan daerah, iaitu Pejabat Kesihatan Daerah, Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom dan Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Kluang.
Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Kluang Dr Linayanti Rosli, sebanyak empat buah pusat pemberian vaksin petugas barisan hadapan bagi fasa pertama akan dibuka, iaitu di Dewan Jubli Intan, Dewan Penjara Kluang, Dewan Muafakat Simpang Renggam dan Dewan Penjara Simpang Renggam.
“Bagi suntikan vaksinasi fasa pertama yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kluang akan melibatkan seramai 3,052 orang petugas barisan hadapan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi-agensi lain.
“Suntikan dos pertama ini dijangka akan dilaksanakan bermula 3 hingga 18 Mac, manakala bagi dos kedua pula akan bermula pada 21 Mac hingga 5 April,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Pelan Pelaksanaan Imunisasi COVID-19 Peringkat Daerah Kluang di Dewan Jubli Intan, di sini semalam.
Tambah beliau, bagi para petugas barisan hadapan dari Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom dan Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Kluang, suntikan akan dilaksanakan sendiri oleh kedua-dua agensi kesihatan tersebut.
Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Kluang Kapten (PA) Mohd Hairol Isahak berkata pemberian vaksin ini merupakan usaha kerajaan dalam memastikan rakyat bebas atau tidak dijangkiti wabak COVID-19.
“Para petugas dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) amat bersyukur dengan pemberian vaksin ini yang secara tidak langsung dapat membantu kami dalam berhadapan dengan risiko dijangkiti wabak ini,” ujarnya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor R. Vidyananthan, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Aman Rabu dan Pegawai Daerah Kluang Jamaluddin A. Hamid.
-NI