Laporan/foto: Siscalistorina Janius/Merusin Minudin (Kota Kinabalu)
PAPAR, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM9 juta bagi menyelesaikan masalah banjir di Pekan Kinarut.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peruntukan tersebut bagi membolehkan Projek Skim Tebatan Banjir Sungai Kinarut dilaksanakan mulai April ini oleh Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS).
“Apabila projek ini siap, diharap penduduk yang tinggal di Kinarut tidak lagi berdepan dengan masalah banjir setiap kali musim hujan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Sungai Kinarut, di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah JPS Sabah Ir Jeffrey Ng Vun Ping, menjelaskan masalah banjir yang berlaku di kawasan Kinarut adalah disebabkan keadaan sungai yang terlalu cetek dan sempit hingga menyebabkan kawasan sekitar termasuk stesen keretapi, permis perniagaan dan kawasan perumahan sering ditenggelami air.
“Malah, keadaan sungai ketika ini turut dipenuhi dengan sampah hingga menyebabkan pengaliran air sungai tersekat.
“Belakangan ini, Pekan Kinarut dan kawasan sekitar kerap mengalami banjir hingga menyebabkan kerugian yang besar sepanjang tempoh 10 tahun ini.
“Bawah projek ini, kerja-kerja pelebaran dan pendalaman sungai sepanjang tiga kilometer akan dilakukan selain pemasangan pembetung dan struktur binaan tebing sungai,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Jeffrey Gapari Kitingan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran Ir. Jeffrey Ng Vun Ping.
-SH