Laporan/foto: Tengku Syarinah Tengku Mustapa/Amir Rithauddin Roslan (Hulu Selangor)
BATANG KALI, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 792 petugas hadapan bukan kalangan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di daerah Hulu Selangor menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19, semalam.
Penyelaras program Dr Khairunnisa Ariffin, berkata program selama dua hari tersebut berjalan dengan lancar dan selesai mengikut perancangan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Selangor.
“Tema Program Imunisasi Kebangsaan iaitu ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’ menjadi pemangkin semangat semua petugas barisan hadapan negara untuk lebih gigih dalam menangani penularan Virus COVID-19 ketika ini.
“Alhamdulillah, seramai 792 petugas barisan hadapan bukan KKM telah berjaya divaksin yang menjadi satu permulaan yang baik untuk PKD Hulu Selangor meneruskan usaha bagi fasa berikutnya.
“Terima kasih kepada semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan program selama dua hari ini,” katanya.
Menurutnya, program yang dilangsungkan di Dewan Datuk Abdul Hamid, Batang Kali itu turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Dr Mohd Azhar Haji Mohamed Ali yang tersenarai penerima vaksin.
Sementara itu, seorang penerima vaksin, Jamaluddin Amini Hamzah menzahirkan rasa syukur kerana telah menerima vaksin bagi mencegah penularan virus ini.
“Saya rasa sangat bersemangat untuk menerima vaksin ini demi meneruskan tanggungjawab sebagai petugas barisan hadapan.
“Setelah menerima vaksin terasa lebih yakin untuk bertugas dan berhadapan dengan orang ramai,” katanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.
-NAZ