Laporan/foto: Mohd Zaid Awang/Hazlina Tajuddin (Petaling)
SHAH ALAM, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Orang ramai diseru agar mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 secepat mungkin untuk menyelamatkan rakyat di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata Program Vaksinasi Kebangsaan bukan perkara baru dan ianya terbukti mampu mencegah banyak penyakit sebelum ini.
“Program Vaksinasi Kebangsaan ini dah lama, hari ini ada 11 penyakit dapat dicegah melalui suntikan vaksin.
“Jadi kita semua tahu kepentingan vaksin COVID-19 ini untuk mencapai 70 peratus agar dapat melandaikan graf penularan penyakit ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pemberian Vaksin Covid-19 Dos Kedua kepada Petugas Barisan Hadapan Negeri Selangor di Hospital Shah Alam, hari ini.
Noor Azmi berkata, rakyat perlu mengambil inisiatif segera untuk mendaftar sebagai penerima vaksin yang disediakan oleh kerajaan ini.
“Selepas ini saya sarankan semua rakyat secepat mungkin untuk mendaftar sama ada untuk fasa satu, dua atau tiga dalam tempoh bulan Mac hingga Mei ini.
“Kita perlu buat secepat mungkin untuk menyelamatkan rakyat,” katanya.
Dalam program tersebut, Noor Azmi menerima vaksin dos kedua bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta ketua-ketua jabatan dalam negeri Selangor.
-NAZ