Laporan/foto: Nazri Ramshah Abdul Basah (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu berkongsi data penduduk bagi memudahkan penyaluran bantuan agar sampai kepada golongan sasar.
Setiausaha Persekutuan (SUP) Sabah Datuk Dr. Zulkapli Mohamed, berkata kadar kemiskinan di Sabah perlu disemak semula agar setiap bantuan yang diperkenal oleh kerajaan dapat disalurkan kepada mereka yang layak.
“Di samping itu, beberapa projek pembangunan di negeri ini juga perlu diberi perhatian khusus bagi memastikan setiap projek pembangunan disiapkan mengikut jadual supaya rakyat dapat menikmati kemudahan yang diberikan.
“Projek menaik taraf Hospital Daerah Papar, perlu diberikan perhatian serius memandangkan perkhidmatan kesihatan amat penting untuk rakyat terutamanya pada ketika ini,” katanya sejurus mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah Datuk Seri Sr Safar Untong di Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.
Zulkapli yang dilantik ke jawatan tersebut pada 22 Februari lalu menggantikan Datuk Samsuni Mohd Nor yang bersara wajib, menyatakan beliau amat berpuas hati dengan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam pengurusan COVID-19 demi melandaikan keluk kes jangkitan wabak itu di negeri ini.
Sementara itu, Safar turut menjelaskan hubungan di antara kerajaan negeri dan persekutuan berada pada landasan yang sangat tepat dalam memastikan penyampaian dan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dilakukan dengan baik.
-RI