Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Cuaca Panas Punca Kes Tangkapan Ular di Sik Meningkat

By 11 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)/APM Daerah Sik

SIK, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Cuaca panas belakangan ini turut memberi kesan kepada haiwan berbisa dan berbahaya seperti ular untuk keluar mencari tempat perlindungan dan habitat baharu terutamanya di kawasan yang lebih sejuk.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Lt. (Pa) Haisul Aishah Mohd Napiah, berkata sepanjang bulan Januari hingga Februari sebanyak 48 kes tangkapan ular direkodkan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik dan antara jenis ular paling banyak dicatatkan adalah ular sawa dan ular tedung.

“Reptilia ini dilaporkan memasuki rumah penduduk dan sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat kerana boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

“Ular biasanya gemar menyorok di tempat yang sejuk seperti kasut, almari, bawah katil serta bilik air dan oleh itu, orang ramai disaran agar berhati-hati ketika memakai kasut serta mengambil barang di tempat-tempat yang disebutkan tadi,” ujarnya ketika ditemui di Pejabat APM Daerah Sik, di sini semalam.

Anggota APM menjalankan operasi menangkap ular.

Anggota APM menjalankan operasi menangkap ular.

Haisul mengingatkan orang awam untuk tidak mengambil tindakan sendiri dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Orang ramai digesa untuk menghubungi APM  Sik bagi menangkap ular tersebut dan seterusnya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) daerah bagi tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam siaran medianya menyatakan negara kini sedang berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada pertengahan bulan Mac 2021.

~RJ~

 

Tinggalkan komen anda