Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

‘End TB Target’ Sasar Malaysia Bebas Penyakit Tibi 2035

By 25 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 25 Mac ( Malaysiaaktif) – Hari Tibi Sedunia disambut pada 24 Mac setiap tahun bagi memperingati penemuan bakteria mycobacterium tuberculosis pertama di dunia oleh Dr. Robert Koc pada 24 Mac 1882, dan seterusnya menerokai zaman mendiagnosis dan merawat penyakit ini.

Menurut Pegawai Daerah Kota Tinggi Hazlina Jalil tema sambutan pada tahun ini iaitu “The Clock is Ticking” memberi peringatan kepada seluruh dunia bahawa kita kesuntukan masa untuk bertindak dalam usaha dan komitmen mengakhiri penyakit tibi.

“Tema ini menyeru semua pihak berganding bahu dalam memerangi penyakit tibi ini.

“Stigma terhadap penyakit tibi oleh para pesakit seperti enggan mendapatkan rawatan di hospital dan rasa didiskriminasi perlu diubah jika kita hendak memastikan masyarakat sedar dan faham akan penyakit ini,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Daerah Kota Tinggi di Pusat Persidangan Desaru Coast, di sini semalam.

Tambah beliau, kerjasama multisektoral perlu dilaksanakan pelbagai pihak bagi mengatasi punca penyakit ini seperti kekurangan zat makanan, jangkitan HIV, merokok, penyakit diabetes dan faktor kemiskinan.

Hazlina Jalil bersama Pegawai Kesihatan Daerah Kota Tinggi mempromosikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Daerah Kota Tinggi.

Hazlina Jalil bersama Pegawai Kesihatan Daerah Kota Tinggi mempromosikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Daerah Kota Tinggi.

“Pesakit tibi boleh sembuh sekiranya mematuhi jadual rawatan yang telah ditetapkan iaitu selama enam bulan.

“Pesakit yang enggan untuk dirawat sebenarnya boleh didakwa dan didenda di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” ujarnya.

Hazlina menyeru agar semua pihak yang memberi perkhidmatan kesihatan berkaitan penyakit tibi di negara ini termasuk fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta dapat bersama-sama berganding bahu melakukan saringan dan rawatan awal bagi penyakit ini.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan seperti melaporkan kes dalam kalangan komuniti mereka bagi mencapai hasrat Malaysia Bebas Tibi menjelang tahun 2035.

“Kuman tibi disebarkan melalui udara di mana pesakit akan mengeluarkan kuman tibi ke udara apabila batuk atau bersin dan setiap individu yang menyedut udara tercemar ini akan terdedah kepada jangkitan kuman tibi,” ujarnya lagi.

Pada tahun 2020, Malaysia telah melaporkan 23,644 kes tibi dengan kadar insiden 70 dari setiap 100,000 penduduk di mana Johor sahaja melaporkan 1810 kes dengan kadar insiden 48.4 orang dari setiap 100,000 penduduk manakala daerah Kota Tinggi pula 128 kes tibi telah dilaporkan dengan kadar insiden 67 dari setiap 100,000 penduduk.

-NI-

Tinggalkan komen anda