Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Merusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Putatan menerima sumbangan sejumlah RM5,000 daripada Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS).
Sumbangan tersebut disampaikan Pengerusi LPPS Datuk Dr Zaki Gusmiah kepada Pengerusi BSMM Daerah Putatan, Nanih Abah dalam satu majlis ringkas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
“Setiap sumbangan yang diterima sama ada daripada pihak kerajaan mahupun swasta akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan melalui program-program yang dirancang.
“Semenjak pandemik COVID-19 melanda negara pihak BSMM Daerah Putatan telah melaksanakan pelbagai program bagi membantu barisan hadapan dan masyarakat yang memerlukan,” katanya yang ditemui dalam program tersebut.
Menurut Dr. Zaki, antara yang sedang dilaksanakan adalah kempen derma darah bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Unit Tabung Darah Jabatan Patologi Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu agar bekalan darah sentiasa mencukupi.
“Turut dilaksanakan adalah program sumbangan bakul makanan kepada golongan yang terjejas pendapatan sepanjang pelasanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya di daerah Putatan.
“Sumbangan bakul makanan ini kami sediakan untuk diberi kepada mereka yang benar-benar memerlukan tanpa mengira fahaman politik, agama, bangsa dan status kerakyatan,” jelas beliau.
Setakat ini BSMM Daerah Putatan mempunyai lebih 1,000 ahli yang berdaftar dan bersedia melaksanakan kerja-kerja amal apabila diperlukan.
Beliau turut mengalu-alukan sumbangan daripada pihak swasta atau badan korporat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat secara bersama.
“Memandangkan BSMM merupakan organisasi sukarela yang tidak berasaskan keuntungan dan mempunyai sumber pendapatan yang tetap, dana yang diperolehi bergantung kepada sumbangan awam bagi melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan.
“Kami berharap agar lebih banyak syarikat, organisasi dan orang perseorangan tampil untuk menyumbang kepada BSMM supaya kami dapat membantu mereka yang memerlukan, tidak kira semasa bencana ataupun kecemasan,” jelas Nanih.
Hadir sama Timbalan Pengerusi LPPS Aminah Johan, Penolong Pengurus Besar LPPS Khairi Alias serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah LPPS.
-RI