Laporan/foto: Nur Shahrina Amran/Kartina Saruni (Tangkak)
TANGKAK, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Agenda Johor Berkebajikan merupakan titik sentuhan yang telah dibentangkan dan diluluskan oleh Menteri Besar Datuk Hasni Mohamad, selari dengan tema Belanjawan Johor 2021 iaitu “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran”.
Kerajaan negeri menyalurkan bantuan sekali beri Agenda Johor Berkebajikan bagi daerah Tangkak kepada penerima e-Kasih melalui dua fasa.
Menurut Pegawai Daerah Tangkak Shafiei Ahamad, penyerahan bantuan untuk fasa satu telah diberikan pada hari ini dan fasa dua pada bulan April nanti.
“Seramai 1,704 penerima dari daerah Tangkak akan menerima bantuan sebanyak RM300 untuk setiap fasa.
“Bantuan berkenaan sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri dalam meringankan beban golongan yang memerlukannya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Agenda Johor Berkebajikan Daerah Tangkak, di Dewan Serbaguna Islam Taman Cempaka Tangkak, di sini semalam.
Seorang penerima sumbangan, Rubiah Mualim, 72, dari Kampung Serom 3 menzahirkan rasa terima kasih dan bersyukur di atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap golongan sepertinya.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban saya dalam menghadapi bulan puasa dan juga hari raya yang akan menjelma tidak lama lagi,” katanya.
Pengerusi JawatanKuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri Serom Datuk Abdull Rahim Talib, berkata beliau berharap agar bantuan yang disalurkan ini dapat digunakan sebaik-baiknya serta memberi manfaat kepada para penerimanya.
-NI-