Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari/Nur Afikah Rusly (Larut Matang dan Selama)
CHANGKAT JERING, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menjadi platform dalam usaha membanteras dan membantu Orang Kena Pengawasan (OKP) daripada berterusan mengambil bahan terlarang.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud, berkata program ini dilhamkan oleh PEMADAM dengan kerjasama AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa lagi agensi berkaitan.
“Matlamat program ini dilaksanakan adalah untuk menjejaki kesemua OKP iaitu mereka yang ditahan kerana disyaki memiliki dadah atau penagih tegar yang telah ditangkap dan berada dalam keadaan pemantauan.
Sejurus selepas dibebaskan, mereka dikehendaki untuk melapor diri setiap bulan di balai polis dan pejabat AADK berdekatan kerana laporan ini perlu dibuat dalam tempoh dua tahun atas keperluan pemantauan,” katanya ketika merasmikan Program Ape Kabo Komer: Jejak Kasih anjuran PEMADAM Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), di sini hari ini.
Menurut Ahmad Saidi, mahkamah akan menetapkan pemantauan dalam tempoh dua tahun namun mempunyai hak untuk mengurangkan tempoh tersebut sekiranya tempoh dua tahun dianggap terlalu panjang.
“Program hari ini melibatkan 40 OKP di daerah ini dan PEMADAM turut melakukan ziarah kasih di tiga buah rumah OKP untuk memantau kehidupan mereka setelah dibebaskan dari pusat pemulihan.
Kita mengambil berat akan kesemua OKP ini dan perlu peka akan penerimaan masyarakat sekeliling terhadap mereka supaya dapat meneruskan kehidupan seperti biasa,” tambahnya.
Hadir sama Ketua Siasatan Jenayah Narkotik IPD Taiping Asistan Superitendan Muhammad Aizat Ab Rahman.
~RJ~