Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Lelaki Ditahan Rakam Video dalam Tandas Perempuan

By 29 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/IPD Gombak

SELAYANG, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki merakam video di dalam tandas perempuan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Selayang, di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata perbuatan suspek itu terbongkar setelah seorang pekerja wanita menjumpai kamera yang disembunyikan ketika hendak menggunakan tandas.

“Ketika pengadu (mangsa) tunduk, beliau ternampak satu kamera tersembunyi berbentuk pen berwarna hitam di bawah sinki dalam tandas tersebut sebelum mengambil untuk diperiksa di rumahnya.

Kamera video diletakkan di bawah sinki ini untuk merakam video di tandas perempuan sebuah kilang di Selayang.

Kamera video diletakkan di bawah sinki ini untuk merakam video di tandas perempuan sebuah kilang di Selayang.

“Mangsa mendapati terdapat beberapa rakaman video yang jelas ternampak kemaluan dan muka mangsa serta beberapa rakan sekerjanya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Arifai berkata, wanita berusia 27 tahun itu mengesyaki pen berkenaan milik seorang pekerja yang dikenali kerana terdapat paparan mukanya di dalam video tersebut ketika meletak dan mengambil kamera tersebut.

“Mangsa seterusnya memaklumkan kejadian tersebut kepada majikannya untuk tindakan lanjut dan membuat laporan polis.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menangkap suspek berumur 41 tahun yang bekerja di kilang tersebut pada Jumaat lalu.

“Siasatan mendapati suspek bertindak berseorangan meletakkan kamera di bawah sinki dalam tandas perempuan bagi tujuan rakaman video untuk kepuasan diri sejak awal Mac,” katanya.

Menurutnya, suspek direman empat hari sehingga 30 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

-RI

Tinggalkan komen anda