Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Azri Onn(Labuan)
LABUAN, 19 Mac (Malaysiaaktif) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meringankan beban seorang pesakit Obestructive Sleep Apnae (OSA) dengan menyumbangkan sebuah mesin peralatan pernafasan bagi mengurangkan beban yang ditanggung pesakit.
Menurut Pengurusnya, Md Fadzli Md Saad, penerima tersebut Norhamidah Punggut, 37, tidak mampu membeli mesin yang bernilai RM4,200 itu kerana ibu bapanya hanya bekerja sendiri mengendalikan gerai makan di Pasar Sentral.
“Beliau bukan bukan sahaja mengalami kesukaran bernafas tetapi juga mengalami penyakit darah tinggi, kencing manis, masalah paru-paru dan jantung sejak beberapa tahun yang lalu.
“Pihak Baitulmal MAIWP terpanggil untuk membantu Norhamidah selepas mendapat nasihat daripada pihak hospital untuk beliau mendapatkan mesin oksigen bagi membantu melancarkan pernafasan Norhamidah.
“MAIWP berharap dengan bantuan mesin kesihatan yang disalurkan ini dapat mengurangkan masalah dan meringankan beban pesakit yang tidak dapat bekerja sepenuhnya dan terpaksa ditanggung perbelanjaan hariannya oleh kedua-dua ibu bapa Norhamidah,” katanya ketika menyampaikan bantuan itu semalam.
Jelasnya, sumbangan tersebut adalah hasil bayaran zakat dan sepanjang tahun ini MAIWP Labuan telah menyumbang dua unit mesin peralatan pernafasan melalui Skim Bantuan Peralatan Kesihatan bagi membantu pesakit yang memerlukan.
Sementara itu, Norhamidah melahirkan kesyukuran atas sumbangan mesin itu yang memudahkannya untuk menjalani kehidupan seharian.
“Saya merasa bersyukur kerana lepas menggunakan mesin ini hampir seminggu saya boleh bernafas dengan lebih baik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Baitulmal MAIWP dan pembayar zakat yang menyumbangkan mesin ini kepada saya yang kurang berkemampuan untuk membelinya sendiri,” jelasnya.
Hadir sama Timbalan Pengurus MAIWP Labuan, Mohd Radzaleih Matusin.
-RI