Laporan/foto: Muhammad Ikhmal Rauff Ghazali/Yang Azman (WPKL)
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Majlis Keselamatan Negara (MKN) bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan lain termasuk Jabatan Penerangan (JaPen) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melakukan rondaan bagi memantau tahap kepatuhan orang ramai terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) di sekitar Taman Tasik Titiwangsa.
Pengarah MKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Azizah Mohamed Said, berkata pelaksanaan pemantauan itu bertujuan untuk memastikan orang awam tidak culas terhadap SOP yang sudah ditetapkan.
“Pematuhan orang ramai terhadap SOP masih pada tahap kurang memuaskan terutamanya di kawasan tumpuan awam di ibu negara.
“Pengunjung kawasan taman awam dan pusat beli-belah masih lagi sesak dan ada yang tidak mengamalkan penjarakan fizikal khususnya pada hujung minggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengikuti program Info on Wheels (IoW) anjuran JaPen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Taman Tasik Titiwangsa, di sini semalam.
Menurut Azizah, pemantauan secara berterusan perlu dilakukan ekoran kes jangkitan harian COVID-19 di ibu kota masih lagi mencatatkan angka yang tinggi.
Pada program tersebut turut dilakukan edaran buku Norma Baharu Dalam Komuniti, risalah Proklamasi Darurat dan poster Pembudayaan Norma Baharu kepada orang ramai.
Turut hadir Pengarah JaPen WPKL Lim Ann Teck dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Kamarudin Jaafar.
-SH