Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

PL Gariskan Tiga Strategi Budayakan Norma Baharu dalam Komuniti

By 7 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian(Labuan)

LABUAN, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan (PL) menggariskan tiga strategi utama untuk menerapkan pembudayaan norma baharu bagi mencegah penularan COVID-19 dalam komuniti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PL Dr. Fary Akmal Osman, pelaksanaan pembudayaan norma baharu dalam komuniti akan dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu Kempen Kesedaran, Amalan Sanitasi dan Promosi Pembudayaan Norma Baharu.

“PL sebagai pihak berkuasa tempatan dan agensi utama di Labuan perlu menjadi peneraju dalam memberi kesedaran tentang keperluan pembudayaan norma baharu terhadap komuniti.

“PL akan bekerjasama dengan Jabatan Penerangan Labuan bagi pelaksanaan kempen kesedaran, taklimat secara atas talian akan diadakan sebanyak lima sesi manakala taklimat secara bersemuka melibatkan pemimpin masyarakat akan diadakan pada 10 April 2021,” katanya yang ditemui selepas Majlis Pelancaran Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan COVID-19, di perbadanan tersebut, di sini semalam.

Bashir (kanan) menerima bahan penerbitan mengenai pembudayaan norma baharu daripada Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Abd Aziz Mohd Salleh.

Bashir (kanan) menerima bahan penerbitan mengenai pembudayaan norma baharu daripada Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Abd Aziz Mohd Salleh.

Bagi Amalan Sanitasi, PL katanya akan menyumbang sebanyak 136 set peralatan sanitasi kepada 17 buah sekolah rendah, 10 buah sekolah menengah , 10 buah sekolah rendah agama, sebuah sekolah menengah agama, tiga buah sekolah tahfiz dan 27 buah kampung.

“Setiap penerima akan mendapat dua set peralatan sanitasi dan Unit Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, PL akan menyelaras keperluan latihan bagi kaedah serta tatacara sanitasi kepada semua penerima peralatan sanitasi,” katanya.

Bagi peringkat Promosi Pembudayaan Norma Baharu, PL juga katanya menyediakan bahan promosi iaitu 100 unit banner dan 180 unit bunting.

“Bahan promosi ini akan diserahkan kepada Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Wilayah Persekutuan (MPPWP) Labuan untuk diagihkan kepada lima MPPWP Sub Zon Labuan dan diletakkan di kampung-kampung khususnya di tempat-tempat awam seperti masjid, surau, rumah ibadat bukan islam, balai raya serta tempat tumpuan awam yang lain,” tambahnya.

Hadir sama menyempurnakan majlis pelancaran tersebut adalah Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Senator Datuk Bashir Alias.

-SH

Tinggalkan komen anda